Langkau ke kandungan utama

Kit Ujian Antigen Covid 19 Buatan Malaysia Berada Di Pasaran



Kit Ujian Pantas Antigen Salixium COVID -19 iaitu kit kendiri ujian pantas antigen Covid-19 buatan Malaysia yang pertama akan berada dipasaran negara kita bermula 19 Julai nanti. 

MeDKAD Sdn Bhd (MeDKAD) melalui Pengarah Projek MeDKAD,Syahriah Razak berkata kit Salixium itu dapat mengesan kehadiran antigen SARS-CoV-2 dalam air liur manusia dan persampelan melalui hidung.

Kit ujian pantas mengambil masa antara 10 hingga 15 minit untuk dilakukan dan hasilnya dinilai oleh jalur yang dapat dilihat dengan jelas, ia akan mengesahkan kewujudan antigen.

Diharapkan produk hasil usaha MeDKAD ini mampu menyelesaikan masalah kesesakan di pusat-pusat saringan Covid -19. 

"Kewujudan atau ketiadaan antigen SARS-CoV-2 dalam persampelan akan ditunjukkan menerusi jalur berwarna merah jambu/ungu di kit tersebut. Sekiranya sampel berkenaan tidak mengandungi antigen SARS-CoV-2, tiada jalur warna akan muncul, menunjukkan hasil ujian adalah negatif," katanya dalam satu kenyataan.

"Sebagai pengawalan prosedur, jalur warna kit yang kelihatan itu mengesahkan persampelan yang betul tanpa mengira sama ada wujud atau tiada antigen SARS-CoV-2 dalam sampel tersebut," katanya.

Sebanyak 242 sampel air liur atau calitan hidung diuji dengan Salixium dan keputusan menunjukkan bahawa sensitiviti Salixium adalah 91.23 peratus manakala ketepatannya ialah 100 peratus, katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas Bersama MeDKAD, Ezuan Yaacob berkata, MeDKAD mempunyai saintis dan pakar perubatannya sendiri yang mempunyai kemampuan untuk bukan sahaja bagi membangunkan kit ujian mereka sendiri tetapi untuk bekerjasama dengan institusi penyelidikan tempatan dan luar negara untuk memastikan keberkesanan produk tersebut.

Selain Malaysia, MeDKAD merancang untuk menembusi pasaran di negara-negara lain di Asia, Eropah dan Timur Tengah kerana Salixium juga telah digunakan secara meluas di Perancis, Indonesia dan Emiriah Arab Bersatu terutama di Dubai.

Ditubuhkan pada tahun 2016 dan beribu pejabat di Shah Alam, Selangor, MeDKAD adalah syarikat teknologi kesihatan yang memberi perkhidmatan kepada syarikat untuk menguruskan manfaat perubatan mereka dengan lebih baik.







Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

5 Syarat Melayakkan Anda Automatik Mendapat Lesen B Dari Lesen B2

9 Motosikal Berkuasa Tinggi Dirampas - Kastam

2 Model Suzuki dan 1 Model Honda Terlibat Dalam Panggilan Semula Oleh JPJ